Pages

Friday, March 16, 2012

- MENCARI YANG LAIN, BERTEMU DENGAN YANG LAIN... -

Hai DD, hari ni hari Jumaat tau, hari yang sangat mulia dan digelar juga penghulu bagi segala hari yang berjumlah 7 hari. Tapi apa kaitannya aku bagi tahu nama hari ni hari apa pada kau kan? Bukannya kau nak ambil tahu pun. Tak kisahlah kan? Sama ada kau tau atau tak, bukannya jadi soalkan? Bukannya kena bayar pun kalau kau tahu hari yang sedang aku jalani hari apa.

Semalam petang, kepala aku rasa berdenyut-denyut semacam, padahal... aku baru aje tulis di akaun FB yang aku dah lama tak kena gastrik dan sakit kepala. Dua penyakit yang selalu aje datang kunjungi aku. Cuma akhir-akhir ni aje dua sakit tu bagaikan tak sudi lagi melihat aku dan aku sesungguhnya syukur kalau ‘mereka berdua’ langsung tak datang. Cukuplah aku hampir berguling-guling di lantai masa bulan puasa tahun lepas gara-gara gastrik yang tiba-tiba aje datang. Mujur ada seorang adik baik hati yang sanggup datang ambil aku di pejabat dan hantar aku kembali ke rumah. Terima kasih pada dia, moga ALLAH membalas segala kebaikan dia pada aku, kan DD?

DD, kau tau... sejak beberapa tahun kebelakangan ni aku cari seorang sahabat lama aku. Sebetulnya, aku tak tahu sama ada dia boleh digelar sahabat atau musuh. Sebabnya, ketika di sekolah dulu, aku dan dia lebih kerap bertikam lidah daripada berbaik-baik. Bukannya aku yang mulakan dulu, tapi dia. Hanya yang aku yakin, sejak hari pertama tengok muka dia, aku rasa aku tak suka dia. Pandangan mata dia, aku rasa macam mengandungi ancaman dan hati berkata yang aku tak berkenan dengan dia.

Kemudian, aku dan dia mula melalui hari-hari seperti biasa. Dan dia, seperti yang aku duga, tak pernah duduk diam selagi tak kacau aku. Agaknya, hari pertama pun dia dah aim aku untuk dikacau. Macam-macam yang dibuatnya yang berkesudahan dengan aku mengamuk. Tak tahu kenapa, dalam banyak-banyak pelajar perempuan dalam kelas kami, dia memilih untuk menyakat-mengganggu aku. Kadang-kadang sakatan dia aku buat macam angin, berhembus kemudian pergi begitu saja. Kadang-kadang gangguan dia pula mampu buat aku rasa angin satu badan. Kalau dia adik aku, memang dah awal-awal lagi kena lempang dengan aku. Tapi sebab dia budak lelaki, aku hanya mampu ketap bibir. Bimbang kalau aku lempang dia, dia lempang aku balik. Masa tu, rasanya bukan pipi aku aje yang lebam biru, tapi seluruh muka.

Kerana dia juga aku selalu kena tegur dengan cikgu, malah aku pernah juga kena cubit beberapa kali dengan cikgu. Malu, DD sebab masa tu umur aku 18-19 tahun, bukannya 13-15 tahun. Tapi dia tetap juga tayang muka selamba dia. Anehnya kata kawan-kawan aku, bila aku tak datang atau tak ada, dia boleh aje duduk diam dan jadi budak baik. Kata kawan aku lagi, bila aku tak ada dia nampak tak ceria. Bahkan kawan aku kata, satu hari nanti dia akan jadi suami aku dan masa tu aku rasa macam nak muntah darah. Aku dan dia, duduk satu rumah? Mahu terbalik rumah kami kerjakan.

Aku pun tak kurang juga jahatnya. Kalau aku bertugas sapu sampah, aku pastikan tempat dia tak bersapu, kadang-kadang kalau aku tengah sapu sampah dia sakat aku, aku siap tinggalkan sampah lagi kat tempat dia. Bila dia tak puas hati, aku tayang muka selamba badak aku. Kalau dia tak mulakan, aku tak akan jadi kejam macam tu. Tapi masa nak ambil STPM tu, aku dan dia dah saling mohon maaf, maklumlah dah nak exam dan lepas ni mungkin tak jumpa lagi. Dia pun bukannya jahat, hanya nakal dan nakalnya hanya pada aku.

Lepas dapat keputusan STPM, aku pergi UPM dan dia pergi UMS dan sejak itu kami langsung tak berhubung lagi. Dia pun dah makin jauh daripada ingatan aku, walaupun kenakalan dia tak pernah padam. Tapi aku pernah dengar yang dia dah putus dengan buah hati dia masa kat Sabah. Terkejut juga aku dengar sebab selama kami satu kelas, aku tahu yang dia sayang sangat kat budak perempuan tu. Sebabnya dia selalu lukis muka budak tu dan alamat email pun hasil gabungan nama mereka berdua. Jauh kat sudut hati aku, aku tahu aku simpati pada dia sebab sebelum dia rasa macam mana sakitnya putus kasih, aku dah rasa dulu. Aku rasa masa aku dan dia satu kelas, tapi... bukanlah putus kasih dengan dia. Aku putus kasih dengan orang lain.

Kemudian aku langsung tak dengar lagi kisah tentang dia sampailah aku kerja di JB. Jumpa dengan seorang kawan yang baik dengan dia. Daripada kawan tu, aku dapat tahu dia pernah kemalangan dan agak teruk juga. Aku rasa terkejut sangat. Dalam hati nak minta nombor telefon dia dan nak bertanya khabar dia. Tapi aku segan. Sudahnya niat hanya tinggal niat semata-mata.

Sekarang ni aku dah jumpa ramai kawan-kawan kelas kami, tapi dia tetap tak ada. Macam dia dah tak wujud dalam dunia ni. Puas aku risik-risik, tapi tak ada pun yang tahu dia ada kat mana. Entahlah DD! Patutnya aku tak perlu fikirkan tentang dia sebab aku mungkin dah tak ada dalam ingatan dia. Tapi otak aku ni tetap juga nak memikirkan dia. Bahkan, kalau aku ke mana-mana mata aku selalu ke kiri, kanan, depan dan belakang. Aku mencari bayang-bayang dia, DD. Tapi dia tetap tak ada DD. Dia di mana dan dia buat apa sekarang ini ya DD? Aku sungguh-sungguh nak tahu.

Aku nak sangat jumpa dia yang DD, dia yang bernama RAZALI ZAINAL. Kalau pun TUHAN bagi aku masa 1 minit untuk jumpa dia, aku akan puas hati untuk seluruh hidup aku. Bukannya aku nak menagih apa-apa kerana antara aku dan dia, tak ada hutang yang perlu ditagih. Aku hanya ingin melihat dia dan mengetahui khabar dia supaya selepas itu fikiran aku tak perlu lagi memikirkan dia dan mata aku tak perlu lagi melilau mencari dia.

Dan gara-gara galak mencari dia, aku berjumpa dengan seorang kawan yang lain. Kawan yang hadirnya di kelas kami hanya sebentar sebelum dia pergi ke UITM. Sungguh, aku dah tak ingat pada dia sebab dia bukan bahagian penting dalam hidup aku. Aku pun dah tak ingat muka dia lagi, yang aku ingat hanya nama dia. AZIZON! Mungkin sebab nama tu sedikit unik. Anehnya, tengok aje nama dia di FB, aku terus dapat bayangkan muka dia, rambut dia, kurus kering dia. Lebih aneh lagi, aku terus ingat yang dia ada seorang kawan baik yang kalau tak silap aku, nama dia KHAIRUL.

Tapi yang lebih mengharukan aku, sejak aku jumpa nama dia tu, otak aku asyik fikirkan dia, tak berhenti berfikir sampai aku rasa penat sendiri. Dia tak mengganggu aku, tapi aku rasa dia macam satu gangguan dalam hidup aku. Aku tak nak ingatkan dia langsung sebab dia bukan siapa-siapa bagi aku dan aku percaya dia sebesar hama pun tak ingat pada aku. Tapi otak aku ni, entahlah... macam degil aje. Rasa macam nak lempang kepala sendiri pun ada juga. Tapi kalau aku lempang, yang sakit aku juga bukannya dia pun.

Dan pada ALLAH aku mohon, kalau dia tak ada dan tak akan ada kaitan dengan aku, biarlah dia pergi daripada minda aku yang memang ada banyak benda lain nak difikirkan. Aku tak mahu menjadi manusia yang melakukan kerja sia-sia. Kau pun tolong aku ya, tolong dengar segala keluh-kesah aku dalam menjalani hidup ini.

Wednesday, March 14, 2012

- HARAP AKU TERUS BERTABAH! -

DD... sorang kawan baru menyampaikan satu berita, kisah orang lain tapi yang jelas kisah orang lain itu menggarit perasaan aku. Terasa betapa diri aku kecil, bahkan ada masa-masanya terasa seperti aku dipinggirkan dan dianaktirikan walaupun bernaung di bawah pondok yang sama. Tapi DD, ini tak ada kaitan langsung dengan kisah keluarga aku ya, kau... tolong jangan salah faham. Mak dan abah, aku tahu sentiasa cuba bersikap adil walau dulu, satu ketika dulu aku pernah rasa betapa aku diabaikan, balik-balik yang dapat semua, abang-abang, adik-adik dan kakak aku. Bahkan kau tau, dalam seumur hidup aku, aku tak pernah pun dibelikan basikal macam anak-anak yang lain. Tapi bila kedewasaan mengetuk diri, aku buang semua rasa kecil hati aku pada mak dan abah tu. Rasa-rasa tak perlu tu tak aku izinkan bertapak terlalu lama. Bagi aku, yang sudah tu biarkan sudah aje. Mak dan abah tak pernah berniat begitu, hanya hati jahat aku ni yang suka sangat berfikir yang bukan-bukan.

 Tapi DD, sungguh... berita yang dibawa kawan aku tu merobek perasaan aku. Siapa yang tak kecil hati, bila kita hantar dulu tapi yang keluar dulu, orang lain punya? Siapa yang tak kecil hati, bila kita punya hampir keluar, tapi yang dicanang-canang yang lambat lagi keluarnya? Bahkan, kalau bukan usaha aku yang memberitahu, semua orang buat tak tahu, semua orang buat tak kisah macam aku ni tak penting benar. Kalau mereka ambil tahu orang lain punya, kenapa bila turn aku, masing-masing buat lupa? Sedihnya aku rasa DD...

Ya, aku tahu sumbangan aku tak besar mana. Tapi, aku sentiasa tekun dengan apa yang aku buat. Kalau orang kata setahun keluar satu, aku cuba untuk menepatinya. Kalau dalam setahun diminta dua, aku usaha untuk memberikan dua. Kalau boleh aku mahu menyenangkan kerja mereka supaya aku juga senang. Tapi DD, jarang benar dalam dunia ini perbuatan baik dibalas dengan baik. Mungkin... ALLAH mahu membalas di sana nanti, tapi hati di dalam alangkah sukarnya untuk dipujuk. Sebabnya, hati bukannya objek kaku seperti batu, kayu atau besi sekalipun. Ia sesuatu yang hidup dan kerana hati itu hidup, maka hari ini hati aku terasa mengecil sebesar hama.

Aku tak minta banyak DD sebab aku sangat sedar siapa aku. Yang aku minta hanya keadilan semata-mata. Kalau seorang dilayan begini, kenapa seorang yang lain tak dilayan sama? Kenapa harus ada perbezaan sedangkan masing-masing ada sumbangan tersendiri walaupun sumbangan itu tak sebesar mana. Paling penting, semua orang sudah berusaha, bukan hanya ‘orang itu-orang itu’ saja yang berusaha. Janganlah kerana kami kurang memberi keuntungan maka hati dan perasaan kami sesuka hati diinjak-injak.
Tolonglah jangan kejam pada kami kerana kekejaman tanpa senjata tajam itu mampu membunuh semangat kami. Tak mustahil rasa yang dijeruk ini lama-kelamaan akan membuatkan kami rasa tersisih dan kemudian perlahan-lahan membawa diri. Apa guna terhegeh-hegeh sedangkan orang tak begitu peduli pun.

Bukan baru hari ni aku rasa macam ni DD, dah bertahun-tahun, malah sejak tahun pertama aku ‘berteman’ dengan mereka. Tapi aku pendam aje sebab aku cukup diri. Mereka sudah begitu banyak berjasa pada aku dan dengan apa yang mereka berikan itulah aku cuba sedaya upaya untuk menyenangkan keluarga aku. Tapi mereka bukan memberi tanpa mendapatkan balasan. Banyak juga yang dah aku berikan untuk mereka. Pendek kata, aku dan mereka masing-masing ada peranan tersendiri dan aku sangat menghormati peranan yang kami sama-sama galas. Cumanya, kadang-kadang aku merasakan mereka tidak telus dengan peranan mereka sampai-sampai begitu mudah mencarik hati kami.

Sampai bila ya aku mampu bertahan DD? Sekarang ni dah menjangkau 9 tahun. Satu jangka masa yang sangat lama kan? Kawan-kawan aku, ramai juga yang dah mula mengeluh dan kecil hati melihat senario yang berlaku akhir-akhir ini, bahkan ada juga yang terasa semangat mereka merudum pergi kerana kecewa. Tapi siapa kami nak mempersoalkan apa yang berlaku. Bimbang mereka kata, 1 pergi 10 mari. Sedangkan bagi aku sendiri, aku ada begitu banyak tanggungjawab yang perlu dilunasi. Makanya aku perlu bertahan biar sesakit mana pun.

Kau tahu DD, dalam dunia ni, ada orang usahanya sikit tapi jalannya mudah, ada orang pulak usahanya banyak tapi jalannya sukar. Dan rasa-rasanya, aku tergolong dalam golongan orang kedua. Hanya aku cuba bertabah dan menganggap apa yang berlaku hari ini adalah dugaan semata-mata. ALLAH mahu menguji sejauh mana kuat aku dalam menempuh apa juga dugaan yang datang. Aku tahu, orang yang diuji adalah orang yang disayang ALLAH. Moga aku terus tabah ya DD...

- AKU, DIA... KAMI TAK SERASI -

Hai DD! Hari ni aku datang lagi macam semalam. Tapi kalau semalam aku datang sebab nak meluahkan kesedihan aku, hari ni pula aku datang sebab aku terasa nak datang, tak ada yang paksa dan aku juga tahu tak akan ada yang mampu halang kedatangan aku. Sebabnya, kau... aku yang punya, bukan orang lain.

Hari ni 14 Mac 2012, DD. Hari ni juga hari lahir seorang kawan yang aku kenal sejak setahun lalu. Kalau setahun yang lepas, ketika ini dia sedang mengerjakan umrah. Tahun ni pula dia ada di tanah air kita menjalani hidup seperti biasa. Kalau tahun lepas, aku wish kat dia, tahun ni sampai ke saat ni, aku belum lagi wish. Sejujurnya aku tak tahu nak wish macam mana sebab aku segan, bimbang dikata aku mahu mengendeng pada dia. Yalah, aku kan perempuan. Perempuan yang sampai ke usia ini masih bebas menjalani hidup sendiri. Selain daripada tanggungjawab pada diri sendiri, mak dan abah, aku memang tak ada tanggungjawab lain. Tapinya, biar usia aku banyak, aku tetap ada harga diri , aku tak mahu dipijak sesuka hati oleh sesiapa pun.

Kau tahu DD, aku dan dia, terasa macam dah berbulan-bulan tak bertanya khabar. Entahlah! Aku memang tak tahu kenapa jadi macam tu. Padahal, masa dia dikenalkan pada aku oleh seorang kakak [kakak angkat aku] dan kakak kandung dia, aku memang bertekad untuk kenal dia. Bukannya sebab aku terdesak dalam usia yang dah semakin berganjak ni. Bukan itu sebabnya! Hanya, aku dapat tahu dia lelaki baik dan kalau memang lelaki baik, kenapa aku tak boleh cuba nasib kan? Siapa tahu, dia memang untuk aku, apa lagi aku ni memang terkenal dengan banyak kelemahan dan kekurangan. Mana tahu dia yang satu itu boleh menutup kelemahan aku dan memperbaiki kekurangan aku.

Tapi kan DD, tak guna mencuba kalau yang mencuba hanya di pihak aku sedangkan dia, tetap kekal dengan sikap Chipsmore dia. Betul, memang dia tak ubah macam biskut. Sekejap ada dan sekejap tak ada. Mulanya aku tak kisah, mungkin dia tak mahu terburu-buru dan aku hormati sikap dia itu. Tapi bila dah berbulan-bulan pun dia tetap kekal macam tu, aku mula terasa lelah. Aku dah terlalu tua untuk bersikap ala-ala anak gadis remaja. Bagi aku, kalau benar mahu tunjukkan rasa serius, bukannya seperti ajak aku main tarik tali.

Aku pun tahu malu juga bila terasa orang tak mahu pun pada aku. Tapi kalau benar tak suka, tak payahlah tunjukkan bunga-bunga ke arah yang aku dan dia sama-sama tahu. Tak perlu panggil aku dengan panggilan yang tak sepatutnya. Aku ada hati dan perasaan, bukannya patung cendana yang senang digula-gulakan.

Bila terasa hubungan aku dan dia macam tak menjanjikan apa-apa, aku akhirnya mula sepi. Tak mahu lagi berharap terlalu banyak. Hati aku pun lama-kelamaan terasa tawar untuk bergandingan dengan dia. Mungkin bukan dia yang diutuskan untuk aku walaupun dia lelaki baik. Atau mungkin juga aku bukan taste dia agaknya, lagipun aku tua setahun daripada dia. Tapi, dia juga yang kata umur bukannya apa-apa, setahun aje pun.

Tak apalah DD, kalau dia tak mahu. Aku anggap dia masih belum bersedia sebab dia baru nak memulakan kerjaya. Apa pun jadi, aku hanya doakan yang terbaik untuk dia.  Moga-moga dia berjumpa dengan perempuan yang lebih baik dan lebih daripada itu, moga impian dia untuk menjadi pelukis berjaya akan jadi kenyataan satu hari nanti. Tak pedulilah walau ketika itu dia dah tak ingat lagi pada aku. Aku pun, sebenarnya masih tak ada apa-apa rasa pada dia, hanya berusaha semata-mata. Saat merasakan usaha aku hanya sia-sia, aku nekad menarik diri. Mungkin antara aku dan dia, kami tak ada keserasian. Cukuplah kami berdua hanya menjadi sahabat walau sahabat yang saling tak berhubung antara satu sama lain.

Untuk dia, selamat hari lahir yang ke-31, moga seluruh rahmat ALLAH akan terlimpah pada awak, kawan... 

Tuesday, March 13, 2012

- AKU DATANG LAGI, DD.. -

Hai DD... maaf, lepas 1 tahun 5 bulan, aku muncul balik. Bukannya tak ingat, bukannya tak sudi mencoret di sini. Tapinya, aku sendiri tak tahu ada apa sebenarnya dengan aku sepanjang tempoh tak berkunjung. Kalau ikutkan hati, sebenarnya ada banyak yang mahu aku kisahkan pada kau, banyak yang mahu aku luahkan pada kau walaupun kau sebenarnya hanya sebuah ruang maya yang dihuni oleh aku. Cumanya... seperti biasa, aku sendiri tak pernah tahu nak bermula daripada mana. Tapi aku tetap juga mahu mencoret hari ini supaya apa yang bersarang di hati jadi lebih tenang.

Abah aku sakit, DD! Mungkin, kerana itu aku berkunjung ke sini. Aku sedih, aku takut. Mungkin sakitnya tidaklah separah mana, tapi... seingat aku, inilah kali pertama dia nampak agak teruk dan aku sebagai anak tak mampu mengusir minda daripada terus berfikir yang bukan-bukan. Ya, terus terang aku katakan yang aku sangat takut kehilangan dia. Rasa takut itu buat aku tak lena tidur dan tak lalu makan, DD.

Kau tahu DD, abah aku bukan lelaki hebat dalam Malaysia ni, jauh sekali dunia ni. Abah aku hanya orang yang sangat biasa. Harta tak ada, pelajaran pun tak tinggi mana, bahkan abah aku hanya kerja sebagai nelayan. Tapi lelaki biasa-biasa itu, sangat luar biasa di mata aku sebagai anak dia. Lelaki biasa itu dah menghabiskan sisa-sisa hidup dia selama ni membesarkan aku dan adik-beradik aku yang seramai 5 orang tu. Dia tak pernah mengeluh, tapi dia akan jadi manusia yang paling susah hati bila hujan turun tak putus-putus. Kau tahu kenapa DD? Sebabnya... bila hujan turun, bermakna abah aku tak boleh ke laut, bila tak boleh ke laut macam mana perut kami anak-beranak hendak di isi?

Tapi itu cerita dulu. Sekarang ni memang abah aku jarang-jarang dah ke laut dan kalau ikutkan hati aku, aku memang tak benarkan dia ke laut lagi. Tapi orang tua, bukannya mudah nak dinasihati, DD. Bimbang rajuknya panjang. Lagipun, resam anak tetap juga anak. Tak boleh berkeras dengan orang tua. Jadinya, pergilah abah aku ke laut sambil ditemani adik aku.

Gugur air mata aku bila tahu abah suruh aku balik, abah kata dia bimbang kalau-kalau tak sempat jumpa dia. Kata abah lagi, kalau aku balik sehari pun tak apa. Mahu aje aku meraung kuat-kuat demi menggambarkan betapa sedihnya aku. Tapi aku sedar tanggungjawab aku, ada kerja urgent yang harus aku sudahkan dan bila siap aje kerja aku, aku terus cabut balik kampung. Duduk diam-diam di KL mungkin akan buat aku gila dalam keadaan otak yang tak berhenti berfikir tentang abah yang tak sihat. Selama ni pun, aku memang selalu balik kampung jumpa mak dan abah, cuma kali ni macam dah lama juga aku tak balik sebab bulan lepas aku dah balik dua kali, itu pun dalam tempoh masa yang lama.

Bila mata aku menjamah wajah abah yang duduk di beranda, tunggu aku sampai, air mata aku bergenang. Tapi bibir aku senyum, tak mahu abah nampak kesedihan aku. Aku cium pipi abah, kiri dan kanan sambil hati berdoa supaya ALLAH panjangkan usia abah dan sihatkan abah kembali. Dan bila aku peluk cium mak, air mata aku gugur juga. Mak tanya dah berapa hari aku tak tidur. Aku geleng sambil bisik kat mak yang aku tak boleh tahan untuk masa beberapa hari lagi.

Sebenarnya DD, sejak balik kali terakhir hari tu, hati aku dah tak sedap sebab aku nampak yang abah memang dah tak sihat. Kalau selalu abah tunggu tepi bas yang aku naik, hari tu abah hanya duduk sambil melambai-lambai dengan wajah tak sihat dia. Mujur aje dua hari lepas abah dah kembali seperti biasa. Tapi melihat lambaian abah, titis lagi air mata aku.

Aku dah jadi anak cengeng kan DD? Tapi... aku memang tak boleh tahan air mata aku. Malah sejak dapat SMS adik ipar aku yang tak sanggup tengok keadaan abah dan keinginan abah yang nak sangat jumpa aku, air mata aku dah jatuh bercupak-cupak. Aku sayang abah, sama macam aku sayangkan mak. Mereka berdua insan terhebat dalam hidup aku. Mereka selalu menarik aku setiap kali aku terjatuh. Tak pernah jemu dan tak pernah lelah.

Dan di sebalik kesakitan abah, kau tahu aku rasa sangat terharu DD. Terharu dengan sikap tanggungjawab adik-beradik aku yang lain. Mereka tak mengabaikan abah, bahkan mereka sepakat dalam segala hal. Mereka jugalah yang sanggup ambil cuti untuk bawa abah ke klinik. Sungguh... aku bangga punya mereka sebagai adik-beradik aku. Hendaknya, bila anak-anak mereka besar, anak-anak mereka juga akan menjaga mereka sebagai mana mereka menjaga abah dan mak kami. Dan kalau ditakdirkan aku tak berjodoh sampai ke tua, harap-harap mereka juga akan menjaga aku sama seperti mereka menjaga orang tua mereka. Kalau tak, nampaknya... terpaksalah aku survey rumah orang tua mulai daripada sekarang kalau tak nak tidur di tepi jalan sebab aku tak ada anak sendiri.

Okeylah DD, aku stop dulu. Harap-harap ALLAH mendengar setiap doa-doa aku. Ada umur, ada rezeki, aku teringin bawa mak dan abah aku tunaikan umrah tahun ni atau awal tahun depan. Tak tahu kenapa, sejak akhir-akhir ni, keinginan aku nak ke sana begitu kuat, macam ada yang menarik-narik hati aku. Aku tak pernah undang, tapi sungguh... aku sangat rindu mahu ke sana. Ya ALLAH... permudahkanlah, lorongkanlah jalan untuk kami bertiga ke tempat suci itu!

Saturday, October 23, 2010

- SiApA pUn MaK, aKu TeTaP sAyAnG gIlA! -

DD... dah pukul 2.00, dah masuk pagi dah pun sekarang ni. Maknanya, hari ni aku akan bertolak ke negara yang penduduknya mata tak berapa besar. Flight malam nanti dan aku aku ke sana sampai hari sabtu depan. Pergi bukan atas urusan kerja, tapi saja melancong cuci mata. Dah lama sangat teringin nak ke sana, tapi baru sekarang kesempatan tu ada. Harap sepanjang penjalanan aku dan kawan-kawan nanti, langkah kami akan dipelihara ALLAH.

Tak tahu macam mana keadaan tempat orang. Cuaca musim gugur dengan suhu yang agak rendah, mungkin aku boleh tempuh sebab ada baju tebal yang aku bawa. Insya-ALLAH itu bukan masalah besar bagi aku. Cuma yang aku gusar, makanan. Aku bukanlah terlalu memilih, tapi aku tetap risau sebab ada masa-masanya, tekak terus menolak tanpa nak berfikir panjang. Lebih-lebih lagi kalau ada makan yang pelik-pelik. Itu pun belum lagi termasuk soal halal haram. Nak pergi negara yang penduduknya bukan agama Islam, tak begitu mudah walaupun taklah juga begitu sukar.

Sekarang ni aku rasa macam nak bawa kicap aje sebab rasanya, kalau makanan kat sana tu tak dapat tekak nak terima, aku lebih rela makan nasi putih dengan kicap. Itu pun dah lebih daripada cukup. Teruk kan aku? Tapi kalau tak bawa, tujuh hari tu, takkanlah aku nak makan meggi aje. Bukan elok sangat. Ada jugalah aku bawa coklat, walaupun aku bukan penggemar coklat. Terpaksa, jadi aku layan aje. Apa pun moga aku sihat sepanjang kat sana nanti.

Itu cerita pasal hari ni dan dah alang-alang bercerita ni biarlah aku masukkan sekali kisah semalam. Hem... semalam masa rehat aku ikut dua orang kawan pergi Semua House. Beli barang-barang untuk hantaran anak kawan aku tu. Aku tak banyak membantu sebab aku tak begitu pandai dalam soal tu. Aku hanya banyak menjadi pemerhati. Dan bila tengok situasi macam tu, aku terfikir alangkah beruntungnya anak kawan aku tu (kawan ni hampir sebaya mak aku)  sebabnya semua mak dia yang keluarkan duit, mak dia yang fikiran apa barang sedangkan si anak cuma tetapkan warna dan hanya menanti kat rumah semata-mata.

Teringat pada mak aku yang tak segah kawan aku tu. Mak aku hanya sekolah sampai darjah 5. Tak berpeluang nak sambung belajar bila tanggungjawab pada adik-adik menuntut mak supaya berkorban. Dari cakap-cakap mak, aku dapat rasakan yang mak kecewa sebab dia pandai belajar. Dan aku dapat rasa yang mak memang bijak. Hanya nasib mak tak sebaik nasib kawan aku tu. Seumur hidup mak tak pernah kerja, sedangkan kawan aku tu pegawai kerajaan.

Dan satu hal yang aku pasti, kalau ditakdirkan aku bertemu jodoh satu hari nanti, mak tak mungkin akan keluar beli barang untuk hantaran kahwin aku. Mak tak ada kemampuan bila hidup mak pun bergantung pada anak-anak, terutama sekali aku sebab antara aku dan adik-beradik aku yang lima orang tu, hanya aku yang belum bertemu pasangan hidup. Segala keperluan mereka, semuanya tergalas atas pundak aku.

Berat tanggungjawab tu, DD, sangat berat sampai ada masa-masanya aku takut aku akan jadi anak yang gagal, apalagi aku anak perempuan tentu saja sarat dengan kekurangan. Tapi ALLAH tu Maha Adil, dia tahu satu hari nanti mak dan abah akan bergantung harap pada aku, sebab itulah DIA bagi aku sedikit kelebihan yang tak ada pada adik-beradik aku yang lain.

Tapi DD, biarpun mak tak mungkin akan keluarkan duit untuk hantaran aku nanti, aku tetap bersyukur sebab mak jadi mak aku. Bukannya orang lain. Biarpun mak cuma sekolah sampai darjah 5, aku tetap gembira sebab dia jadi mak aku. Kau tau DD, dia seorang ibu yang sangat baik. Ibu yang jarang meminta apa-apa pada aku. Ibu yang tak pernah menyusahkan aku dan anak-anak yang lain. Ibu yang sentiasa tak lupa mendoakan anak-anak. Pendek kata, dialah segala-galanya bagi aku. Kekurangan dia, adalah kelebihan di mata aku.  Sungguh DD, siapa pun mak, aku tetap sayang gila pada mak, sama macam aku sayangkan abah. Moga seluruh rahmat ALLAH terlimpah atas kedua-dua orang tua aku tu.

Aku berhenti dulu, DD. Kalau esok sempat, aku tulis n3 lagi. Kalau tak sempat aku akan jenguk kau bila balik Malaysia nanti. Semoga aku akan selamat pergi dan pulang ke tanah tercinta ini. Adios!

Friday, October 22, 2010

- SiApA nAk BaGi AkU kErEtA nI? -

Berangan? Ya... memang berangan pun. Tapi kalau dengan cara berangan macam ni mampu memberikan aku sikit kegembiraan dan kebahagiaan, kenapa tak kan, DD? Lagipun, bukan selalu aku ni berangan, hanya sesekali bila aku fikir aku perlu lari sedikit daripada rutin harian yang tak akan pernah habis walaupun roda hidup terus juga berputar.

Sebenarnya aku bukanlah seorang yang gila kereta. Bawa kereta pun baru 6 bulan kebelakangan ni. Tak ada kereta? Ada... 4 tahun dulu aku dah beli kereta walaupun hanya kereta buatan tempatan. Itu pun aku dah rasa lebih daripada syukur campur bangga. Mana tak bangga, dalam umur 26 tahun aku dah mampu beli kereta walaupun hutang dengan banklah, hehehe. Tahu kenapa aku bangga dan syukur? Sebab abah aku bukan orang kaya, cuma nelayan biasa. Dengan kerja sebagai nelayan, mustahil... sangat mustahil kalau aku nak suruh abah belikan kereta. Apalagi, abah sendiri pun tak ada kereta, hanya ada bot untuk mencari rezeki buat isi perut kami adik-beradik dari kecil hingga masing-masing ada kehidupan sendiri. Sekarang pun abah masih ke laut, tapi sangat jarang dan kalau pergi pun berteman adik aku. Pergi pun sekadar nak cari lauk semata-mata. Abah dah tua dan kalau boleh aku tak nak abah ke laut lagi. Tapi... bukannya senang nak melarang orang tua kan?

Berbalik pada cerita kereta tadi, 4 tahun dulu aku pernah sengih sampai ke telinga gara-gara dapat kereta yang duit mukanya dibayar dengan hasil titik peluh aku sendiri. Tapi cukup seminggu dapat kereta tu, aku terus tak nak bawa. Sebabnya, aku jadi fobia lepas langgar kaunter tiket dekat shopping complex. Sayang kan, kereta baru aku jahanamkan? Tapi nak buat macam mana, memang itu pun yang dah tertulis dalam lipatan takdir aku. Lepas kejadian tu, pegang aje stereng kereta, satu badan menggigil dan sudahnya, kereta tu abang aku yang terpaksa jaga.

Baru 6 bulan aku bawa kereta tu datang KL, walaupun hari pertama bawa aku rasa macam nak terkeluar usus. Takut gila! Itu pun mujur juga rumah sewa aku kena pecah masuk oleh entah malaun mana. Yang syukurnya, satu sen pun milik aku tak terusik. Terima kasih sangat pada ALLAH. Sebab dah tak ada pilihan, dalam kaki tangan yang menggigil aku terpaksa bawa kereta tu pergi balai polis. Esoknya aku cekalkan hati pergi kerja bawa kereta. Seramnya, Ya ALLAH... hanya DIA yang tahu betapa kalau boleh aku nak pasang driver, hahahaha...

Tapi lepas 6 bulan, alhamdulillah skill bawa kereta aku dah makin bagus walaupun ada masa-masanya, senget-benget juga aku parking. Sebenarnya nak atau tak, aku terpaksa bawa juga kereta sebab rumah yang aku duduk sekarang ni tak ada pengangkutan awam. Tapi mujur juga macam tu, kalau tak... mungkin sampai saat ni aku masih menumpang kereta orang.


Dan kalaulah Volkswagen Battle ni dapat kat aku, DD... memanglah aku akan senyum tak henti-henti. Tapi soalnya DD, siapa yang nak bagi pada aku? Nak beli sendiri, aku masih belum mampu dan tak tahu bila akan mampu. Jadi... kalau sesiapa yang rasa ada duit lebih, tolonglah... hadiahkan aku Volkswagen Battle ni, kalau boleh warna hijau dan kuning. Kalau dapat, aku janji akan jadi tukang masak yang paling baik dalam dunia ni. Hem... berangan teruslah, bola kertas sebab tak kena bayar kan? Hahahaha...

Thursday, October 21, 2010

- TUHAN... aKu MaHu BaHaGiA -

DD... sekarang ni aku sedih, sedih sangat. Tengok FB kawan-kawan sekampung aku yang satu kelas dengan aku dulu. Kebanyakannya dah ada keluarga sendiri. Kalau pun yang tak ada, hanya beberapa orang aje. Tengok diri sendiri, tak sedar ada air mata bergenang kat mata. Tiba-tiba rasa diri kecil sangat, macam tak ada apa-apa walaupun boleh dikatakan semua yang aku nak, aku dah ada sekarang ni. Tapi sebab tak ada keluarga sendiri, rasa semuanya macam tak ada. Semua tu tak mampu lengkapkan ruang dalam hati aku yang lompang.

Kenapa DD? Kenapa aku boleh jadi lemah hari ni? Padahal... dah aku bisikan berkali-kali kalau jodoh tu milik ALLAH, bukan manusia. Apalagi aku yang begitu banyak kurang. Tentu ada sebab kenapa sampai ke saat ni ALLAH biarkan aku hidup sendiri walaupun doa aku agar ditemukan dengan jodoh yang sebenar-benar untuk aku, tak pernah tak terucap. Tapi kenapa hati aku degil DD? Kenapa hati aku macam tak dapat terima hakikat tu hari ni?

Aku penat DD, penat dengan fikiran-fikiran negatif yang ada dalam diri walaupun dah banyak kali aku positifkan minda aku. Terima semua yang datang dengan hati yang reda sebab fitrah seorang manusia, harus akur pada PENCIPTA. Bila akur, bermakna aku harus terima apa saja yang ditetapkan untuk aku tanpa banyak soal dan tanpa ada keluhan yang bertindak sebagai bantahan. Aku patut bersyukur kerana masih diberikan nafas oleh DIA.

Tapi aku? Aku tak nak mengeluh DD, aku tak nak menyalahkan takdir sebab aku tak ada hak. Tapi kenapa aku lemah, DD? Kenapa aku tak boleh jadi seteguh karang? Aku mahu jadi kuat. Tapi... jauh, sangat jauh di lubuk hati aku yang paling dalam, aku rindukan tangisan halus yang bila dia menangis, dengan rasa syukur aku mampu berkata, “Tengok... tengok tu, anak aku tengah nangis. Comel kan?”

Ya ALLAH...